Ketua sindiket dadah terbesar negara serta empat lagi ahli sindiket berkenaan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini, terhadap 18 pertuduhan mengedar dadah, awal bulan lalu.
Kesemua mereka adalah Goh Chee Kuang, 44 yang juga Ketua Sindiket; teman wanitanya, Lee Chia Hui, 33; serta Bally Paw Shaw Kiat, 38; dan dua beradik, Lye Chang Pung, 39 dan Lye Chang Lim, 36.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan terhadap kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat.
Chang Pung berdepan lima pertuduhan, Shaw Kiat pula empat manakala Chee Kuang, Chia Hui dan Chang Lim masing-masing tiga pertuduhan.
Mereka secara bersama didakwa mengedar beberapa jenis dadah berbahaya termasuk ketamin dan methamphetamine antara 102 gram (g) hingga 210 kilogram (kg).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Mount Austin, Taman Baiduri dan Taman Setia Indah di sini, antara 9 hingga 15 Januari 2021.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut 39B(2) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mereka berdepan hukuman mati mandatori iaitu hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faizal Noor Hadi dan Suriani Ujang manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Bela, Datuk Micheal K L Chee dan Kevin Quah Kai Weng.
Mahkamah menetapkan 26 April ini untuk sebutan semula bagi serahan laporan kimia.
Sebelum ini media melaporkan, polis Johor membuat 23 serbuan di lokasi berbeza sekitar Johor Bahru, sekali gus membongkar aktiviti sindiket membabitkan lima stor penyimpanan dadah dan dua makmal haram memproses dadah, antara 8 sehingga 17 Januari lalu.
Dalam serbuan itu, polis menahan 17 ahli sindiket termasuk tujuh wanita tempatan berusia antara 17 dan 62 tahun, namun empat daripadanya dibebaskan dan akan dijadikan saksi pendakwaan di mahkamah.
Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM327 juta yang dianggarkan boleh menampung 16.7 juta penagih.