More

    Bonnie pecah rekod peribadi, raih emas Powerlifting Para Dunia

    Atlet negara, Bonnie Bunyau Gustin kini dalam senarai teratas atlet yang layak ke Paralimpik Tokyo, selepas meraih pingat emas pada Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia di Bangkok pada Jumaat.

    Atlet kelahiran Kuching yang berumur 20 tahun itu turut mencipta rekod peribadi dengan melakukan angkatan 226kg bagi kategori lelaki atas 72kg, lebih baik daripada angkatan 207kg untuk memenangi dua pingat emas di Kejohanan Powerlifting Para Dunia di Kazakhstan pada 2019.

    Juara Paralimpik London 2012, Nader Moradi dari Iran terpaksa berpuas hati dengan pingat perak melalui angkatan 204kg, manakala Alexandr Daskov dari Kazakhstan di tempat ketiga dengan angkatan 140kg.

    Jurulatih powerlifting negara, Jamil Adam ketika dihubungi Bernama di Bangkok berkata, prestasi Bonnie amat menggalakkan menjelang Paralimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung 24 Ogos ini.

    “Dari segi prestasi, beliau memang menunjukkan peningkatan membanggakan berbanding kejohanan terdahulu.

    “Beliau ketika ini di ranking nombor satu dunia bagi kategori 72kg di ranking Tokyo, bagaimanapun ranking muktamad bagi Tokyo akan dikemas kini selepas Piala Dunia Powerlifting Para 2021 Fazza Dubai ke-11.”

    Majlis Paralimpik Malaysia menerusi Facebook, turut mengucapkan tahniah kepada Bonnie atas persembahan cukup memberangsangkan itu.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini