Boleh Kritik, Tapi Jangan Salah Guna Hingga Rosak Parti

KUALA LUMPUR: Sesiapa sahaja di dalam UMNO dibenarkan untuk bersuara mengkritik parti itu, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun kebebasan bersuara itu tidak boleh melampaui batas hingga akhirnya merosakkan parti.

“Yang penting kita melayani perbezaan pendapat, tetapi jangan sampai mengecam parti dari dalam dan merosakkan parti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran MyNext TVET dan Pertukaran Dokumen Memorandum Kerjasama (MoC) Transformasi TVET antara Kerajaan dengan GLC dan syarikat swasta di pekarangan Stadium Bukit Jalil, hari ini.

Hadir sama Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.

Dalam masa yang sama Ahmad Zahid mengakui memang wujud usaha merosakkan parti yang dilakukan oleh beberapa individu spsejak 2018.

“Kenyataan Setiausaha Agung UMNO itu sangat mempunyai kebenaran.

“Ini kerana sejak 2018, kita telah menyaksikan pelbagai watak dalaman yang telah menjalankan kerja-kerja seperti tikus membaiki labu,” katanya.

Selepas apa yang berlamu, Ahmad Zahid memaklumkan, UMNO kini giat menambahbaik kerosakan yang berlaku di dalam parti dengan menerapkan semangat berpasukan dalam kalangan pemimpin dan ahli muda.

“Apa yang sedang dilakukan Majlis Latihan dan Perkaderan UMNO adalah untuk menyuntik latihan-latihan berbentuk baharu.

“Ia bagi menerap bukan sahaja semangat tapi rasa kerja sepasukan dalam kalangan kepimpinan dan ahli-ahli UMNO.

“Kita mahu tenaga muda ini yang berada sama ada di dalam Puteri atau Pemuda UMNO terus menyumbang,” katanya.

Selain itu, UMNO turut giat membuka keahlian secara terus menerusi permohonan dalam talian.

“Kita juga telah membuka keahlian melalui permohonan atas talian.

“Kami tiada masalah dari segi memperolehi ahli-ahli muda dan baharu,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles