BNM Kekalkan OPR Pada 3%

KUALA LUMPUR — Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tahap 3%. Keputusan ini diambil berdasarkan penilaian terkini terhadap prospek ekonomi dan inflasi.

Menerusi satu kenyataan, BNM menyatakan bahawa ekonomi global menunjukkan pertumbuhan yang lebih tinggi pada tahun 2024, dipacu oleh pemulihan ekonomi utama dan perdagangan global yang kukuh.

Walau bagaimanapun, tahun 2025 dijangka menyaksikan pertumbuhan yang mampan dengan inflasi yang sederhana serta pasaran buruh yang positif. Namun, risiko seperti ketidakpastian dasar dan sekatan perdagangan terus menjadi cabaran kepada kestabilan ekonomi global.

Tambah BNM, bagi ekonomi Malaysia, pertumbuhan pada tahun 2024 berada dalam jangkaan, dan aktiviti ekonomi dijangka terus kukuh pada tahun 2025. Pertumbuhan ini akan disokong oleh perbelanjaan domestik, pelaburan sektor awam dan swasta, serta peningkatan eksport hasil daripada kitaran teknologi global. Selain itu, aktiviti pelancongan dan pelaksanaan projek pelaburan nasional turut menyumbang kepada pengembangan ekonomi negara.

Inflasi keseluruhan pada tahun 2024 berpurata 1.8% dan dijangka kekal terkawal pada tahun 2025. Faktor seperti kos global yang semakin reda serta tiada tekanan permintaan domestik yang berlebihan membantu mengekang inflasi. Prospek prestasi ringgit pula disokong oleh perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil dan pembaharuan dasar dalam negeri.

Dengan OPR pada paras semasa, dasar monetari kekal menyokong pertumbuhan ekonomi sambil memastikan kestabilan harga. MPC menegaskan komitmennya untuk terus memantau perkembangan ekonomi bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, katanya.

BBerkaitan

Latest articles