BN Yakin Anak Allahyarham Bung Moktar Menang PRK Kinabatangan

KUALA LUMPUR: BN yakin calon mereka, Mohd Naim Kurniawan Moktar, mampu mengekalkan sokongan di Parlimen Kinabatangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 14 Januari ini berikutan pengaruh dan pengalaman politiknya yang luas.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Mohd Naim bukan calon sebarangan kerana beliau memegang jawatan Bendahari Pemuda UMNO Malaysia dan telah lama terlibat dalam pentadbiran parti.

Anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin itu juga pernah mengikuti Allahyarham ke seluruh kawasan Kinabatangan, yang bersaiz lebih besar daripada Johor dan 11 kali ganda lebih luas daripada Melaka.

“Beliau telah dididik untuk mewarisi kepimpinan keluarga. Oleh itu, pemilihannya sebagai calon BN paling tepat untuk menjaga kepentingan rakyat di Kinabatangan,” kata Ahmad pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Kampong Jawa, hari ini.

Beliau menambah, berdasarkan keputusan undi terdahulu, peluang Mohd Naim untuk menang cukup tinggi.

“Kiraan awal menunjukkan 3,908 undi yang diperoleh Allahyarham sebelum ini, ditambah 1,646 undi daripada Parti GRS, dijangka berpindah kepada BN kerana GRS tidak meletakkan calon pada PRK ini. Selain itu, 372 undi daripada Warisan juga mungkin menyokong Mohd Naim. Secara teori, BN berpotensi menang,” jelas Ahmad.

PRK Parlimen Kinabatangan akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Naim (BN), Goldam Hamid (Bebas) dan Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan).

Bagi DUN Lamag pula, BN menurunkan Mohd Ismail Ayob manakala Warisan mempertaruhkan Mazliwati Abdul Malek dalam pertandingan satu lawan satu.

PRK ini diadakan susulan pemergian Allahyarham Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu pada usia 66 tahun, meninggalkan ruang untuk pemimpin baru meneruskan legasi politik keluarga.

BBerkaitan

Latest articles