BN Umum Calon PRK Ayer Kuning Seminggu Sebelum Penamaan Calon

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning seminggu sebelum hari penamaan calon yang ditetapkan pada 12 April depan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata calon yang dipilih akan diputuskan daripada enam nama yang telah dikemukakan oleh bahagian dan perhubungan negeri, melibatkan ahli UMNO Tapah.

“Saya berharap calon yang dipilih memenuhi kriteria serta kehendak penduduk dan pengundi di Ayer Kuning serta Tapah secara keseluruhan, supaya kita dapat mengulangi kejayaan dalam beberapa PRK sebelum ini,” katanya dalam sidang media selepas program Ihya’ Ramadan Al-Mubarak 2026 di Bagan Datuk, seperti dipetik Bernama.

Mengenai kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRK ini, Zahid memaklumkan bahawa kepimpinan kedua-dua gabungan serta parti komponennya telah mencapai persefahaman.

“Timbalan Presiden MIC, M. Saravanan, dan pemimpin MCA negeri telah menghubungi saya. Saya juga telah berbincang dengan jawatankuasa ‘war room’ di peringkat nasional mengenai gerak kerja yang sedang dijalankan,” tambahnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 26 April sebagai hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning, manakala penamaan calon akan berlangsung pada 12 April dan pengundian awal pada 22 April.

PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, pada 22 Februari lalu. Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi dalam pertandingan lima penjuru.

BBerkaitan

Latest articles