BN Tuntut Jawapan Segera Projek RM10 Juta Rumah Mangsa Kebakaran Tawau

TAWAU: Isu penempatan mangsa kebakaran Kampung Kurnia Jaya kembali panas selepas Barisan Nasional (BN) mendesak penjelasan tentang ke mana perginya RM10 juta yang sepatutnya digunakan untuk membina semula kawasan itu sejak tragedi berlaku pada tahun 2022.

Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang turun meninjau keadaan mangsa bersama calon BN DUN Apas, Dr Elmiariezan Ardan, berkata penduduk terpaksa hidup dalam struktur usang tanpa bekalan air, elektrik dan kemudahan asas dimana keadaan yang menurutnya tidak wajar berlarutan selama dua tahun.

Penduduk mendakwa peruntukan RM10 juta tersebut telah disalurkan kepada Majlis Perbandaran Tawau (MPT), namun sehingga kini satu pun rumah belum dibina.

“Penduduk kata duit memang ada, sudah sampai ke MPT. Tapi rumah tak wujud, projek pun tak nampak. Jadi ke mana hilangnya RM10 juta itu? Rakyat tunggu jawapan,” tegasnya.

Menurut Dr Akmal, fokus BN bukan mencari siapa bersalah tetapi memastikan penyelesaian segera dicapai, terutama apabila ramai mangsa kini menanggung hutang selepas terpaksa membaiki rumah masing-masing menggunakan pinjaman.

Beliau mencadangkan jika kos pembinaan baharu melebihi RM10 juta, dana itu boleh diagihkan secara bayaran one-off kepada penduduk.

“Kalau diberi RM13,000 hingga RM14,000 satu rumah, sekurang-kurangnya mereka boleh bayar hutang. Jangan biarkan mangsa terus tinggal dalam keadaan bahaya,” katanya.

Dr Akmal turut mencadangkan model penempatan semula seperti di Melaka, iaitu menggunakan tanah kerajaan yang dibersihkan dan dijual secara subsidi antara RM25,000 hingga RM30,000, atau pilihan sewa beli RM200 sebulan selama 15 tahun untuk golongan kurang mampu.

Jelasnya, penyelesaian menyeluruh memerlukan kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan, termasuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Ini bukan isu Sabah lawan pusat. Ini isu rakyat. KKDW ada ruang besar untuk bantu dan kita akan bawa perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Elmiariezan menegaskan bahawa isu penempatan setinggan dan kebajikan mangsa kebakaran menjadi keutamaannya jika diberi mandat pada PRN Sabah.

“Perkara pertama yang saya akan selesaikan ialah isu penempatan mangsa kebakaran ini. Kita dimaklumkan RM10 juta sudah turun ke MPT, tapi mana hasilnya? Rumah tak ada, projek pun tak jelas. Kita kena siasat dan selesaikan segera,” katanya.

Beliau turut menekankan pentingnya suara penduduk termasuk anak muda, dewasa dan warga emas dibawa terus kepada kepimpinan negeri jika beliau dipilih.

Mengulas masalah infrastruktur di kawasan Apas, beliau berkata ia berpunca daripada penempatan padat yang tidak diurus dengan baik.

“Kalau kita rancang dan urus betul, semua masalah boleh diselesaikan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles