KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pendirian gabungan itu untuk mengembalikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sambil menyifatkannya sebagai sistem percukaian yang lebih adil serta berkesan dalam menjana hasil negara.
Menurut beliau, pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diteruskan buat masa ini, namun hanya bersifat sementara.
Katanya, tempoh kira-kira dua tahun sebelum PRU16 akan digunakan untuk memberi ruang kepada SST, sebelum BN mengambil langkah tegas mengembalikan GST sebagai kerangka percukaian utama negara.
“SST kita teruskan dahulu. Kita beri peluang buat masa ini kerana masih berbaki dua tahun lagi menjelang PRU16,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Makkal Sakti ke-17.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan GST merupakan rejim percukaian paling sesuai untuk Malaysia kerana membolehkan kutipan hasil dilakukan secara lebih menyeluruh, telus dan cekap.
Beliau berkata, sistem itu turut memastikan keadilan merentas semua lapisan pendapatan, sekali gus membolehkan kerajaan menyalurkan semula peruntukan yang lebih besar kepada rakyat melalui pelbagai program kebajikan dan pembangunan.
Mengulas latar belakang pelaksanaannya, beliau berkata negara pernah mengguna pakai GST sebelum beralih semula kepada SST, satu perubahan yang menurutnya dipengaruhi pertimbangan dan janji politik pada ketika itu.
Walaupun BN menyokong pelaksanaan SST ketika ini, beliau menegaskan pendirian gabungan berkenaan selepas PRU16 adalah jelas dan konsisten.
“Setakat ini kita menyokong SST. Tetapi selepas PRU16, kita mesti bertegas untuk melaksanakan GST. Ia perlu kembali dilaksanakan di negara kita,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan memaklumkan GST hanya akan dipertimbangkan semula apabila keadaan ekonomi negara bertambah kukuh dan paras gaji minimum mencecah RM4,000 atau lebih.
Untuk rekod, GST diperkenalkan pada 1 April 2015 dengan kadar enam peratus, sebelum disifarkan pada 1 Jun 2018 dan digantikan dengan SST bermula 1 September 2018 selaras dengan manifesto pentadbiran ketika itu.










