BN Tawar Penyelesaian, Bukan Retorik Kosong – Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan

Seremban, – Barisan Nasional (BN) yakin bahawa pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan terus memberikan sokongan kepada calon mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini, berdasarkan rekod prestasi yang jelas dalam membawa kestabilan dan kemajuan kepada rakyat.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin, BN bukan sekadar menawarkan slogan kosong, sebaliknya membuktikan komitmen terhadap pembangunan dan kesejahteraan rakyat. Beliau menekankan kejayaan yang telah dicapai di Negeri Sembilan di bawah kepimpinan BN dan Pakatan Harapan (PH), termasuk pertumbuhan ekonomi yang pesat, pelaburan berkualiti tinggi, serta pembangunan infrastruktur dan kebajikan rakyat yang diberi keutamaan.

“Sebagai contoh, yang terkini Kerajaan Negeri Sembilan kini giat memperkasa industri penternakan bagi meningkatkan kadar sara diri (SSR) daging tempatan. Pembangunan ladang tenusu bersepadu menggunakan teknologi tercanggih di dunia yang terletak di Gemas dan inisiatif untuk membantu usahawan tani serta generasi muda dalam sektor pertanian merupakan bukti jelas bahawa kami mempunyai perancangan yang konkrit,” katanya.

Di peringkat Kerajaan Pusat, beliau turut memaklumkan bahawa 10 projek mega di Negeri Sembilan telah mendapat perhatian, termasuk projek tebatan banjir, Lebuhraya Madani dan pembinaan hospital baharu di Seremban. Menurut beliau, pelaksanaan projek ini membuktikan kesepaduan kepimpinan negeri dengan kerajaan pusat, sekali gus memberi manfaat langsung kepada rakyat setempat.

Sebaliknya, Mohamad Fadil mengkritik pendekatan politik Perikatan Nasional (PN) yang didakwanya lebih tertumpu kepada retorik dan sentimen tanpa menawarkan sebarang pelan pembangunan yang jelas. Beliau turut menegur sikap pemimpin pembangkang yang lebih gemar mencari kesalahan lawan berbanding membentangkan strategi pembangunan untuk rakyat.

“Sebagaimana yang kita lihat di media sosial, salah seorang Menteri Besar dari PN di utara tanah air lebih sibuk menghina serta mencaci parti lawan tanpa mengemukakan perancangan yang konkrit untuk masyarakat setempat. Begitu juga di Negeri Sembilan, wakil-wakil pembangkang hanya pandai mengkritik tanpa memberi solusi,” tambahnya.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyeru pengundi di Ayer Kuning agar membuat pilihan yang tepat dengan menyokong BN bagi memastikan kesinambungan kestabilan dan kemajuan di negeri serta negara.

BBerkaitan

Latest articles