BN Tanding PRK DUN Nenggiri

KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan sepakat untuk memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) meletakkan calon parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mesyuarat yang berlangsung semalam dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri oleh Pimpinan Tertinggi mewakili BN dan Pakatan Harapan (PH).

“Pimpinan kedua-dua parti memberikan komitmen dan sokongan penuh untuk membantu calon Barisan Nasional yang mewakili Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos.

Terdahulu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula 19 Jun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli DUN (ADUN) Bersatu mengenai ADUN Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim yang hilang keanggotaan parti itu.

Mohd. Azizi merupakan antara enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu yang digugurkan keahliannya serta-merta selepas gagal memberi sebarang jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

BBerkaitan

Latest articles