KUALA LUMPUR: Calon dan jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan tidak ambil mudah dengan kelebihan pihak lawan dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15), tegas penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.
“Sebenarnya, cabaran perlu dihadapi BN sangat besar dan saya secara jujur menyatakan kalau rakan dalam BN merasakan ini satu pilihan raya yang mudah, saya rasa kita silap.
“Pertamanya kita menghadapi jumlah pengundi muda yang ramai bila kita ada Undi18. Kedua, kita melalui episod pertukaran tiga kerajaan yang akan membuatkan rakyat membuat penilaian kepada ketiga-tiga tempoh berkenaan,” katanya selepas majlis ramah mesra bersama penduduk Pulau Bahagia, Manir, Hulu Terengganu.
Malah untuk BN menang bergaya pada PRU15 ini, menurut Annuar, adalah penting juga bagi UMNO tidak memperlihatkan perbalahan dalaman parti kepada umum.
“Jadi, saya merasakan PRU ini sangat mencabar dan bukan satu laluan yang mudah. Jentera UMNO terutama di ibu pejabat perlu melipatgandakan usaha,” katanya.
Baru-baru ini, badan kajian bebas, Merdeka Center, melaporkan sokongan pengundi Melayu lebih memihak kepada Perikatan Nasional (PN) iaitu sebanyak 35%, manakala sokongan pengundi Melayu kepada BN adalah lebih rendah iaitu 28%.