KUALA LUMPUR, — Barisan Nasional (BN) menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan yang menghormati prinsip pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan kerajaan untuk tidak membuat rayuan terhadap pemberian khas tersebut merupakan langkah yang tepat serta selaras dengan semangat federalisme dan penghormatan terhadap hak rakyat Sabah yang telah dijamin sejak sekian lama.
“BN mengambil maklum keputusan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang akan segera memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Sabah bagi memastikan pelaksanaan pemberian khas ini dapat direalisasikan dengan penuh tanggungjawab dan ketelusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zahid menegaskan, sejak awal lagi BN sentiasa menjunjung kepentingan rakyat Sabah, mempertahankan hak-hak yang termaktub dalam perjanjian dan Perlembagaan, serta berusaha memastikan setiap komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap negeri itu dilaksanakan secara adil dan berakauntabiliti.
“BN akan terus konsisten memperjuangkan hak Sabah dan juga mana-mana negeri lain mengikut kerangka perundangan serta semangat Perlembagaan, demi memastikan Malaysia kekal stabil, makmur dan inklusif,” katanya.










