BN Selesai Berunding Dengan PH, PN

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO berlangsung malam ini, selepas Barisan Nasional (BN) selesai mengadakan rundingan bersama Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Rundingan BN-PH berlangsung di Seri Pacific Isnin lalu manakala pertemuan dengan pemimpin PN pula diadakan hari ini di St Regis.

Memetik laporan Malaysia Gazette, sumber memberitahu, rundingan BN sama ada dengan PH atau PN adalah keputusan Majlis Tertinggi BN.

BN juga telah membentuk jawatankuasa terdiri daripada tujuh perunding yang diketuai oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Dr Zamri Abd Kadir, Datuk Seri Dr Wee Kah Siong, Datuk Seri M Saravanan, Datuk Arthur Joseph Kurup dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Rundingan BN dengan PH, PN sudah selesai dan malam ini, Datuk Seri Mohamad Hasan akan bawa ke mesyuarat MT UMNO untuk pandangan MT dan esok pagi akan dibawa pula ke mesyuarat Majlis Tertinggi BN,” katanya.

Menurut beliau, selepas selesai dibawa kepada MT UMNO dan MT BN, barulah hasil rundingan dibentangkan kepada 30 Ahli Parlimen BN.

Katanya, Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri tidak dilibatkan dalam rundingan bersama PH manakala rundingan bersama PN hari ini tidak dihadiri Ahmad Zahid kerana beliau tidak sihat dan diketuai oleh Mohamad.

Tujuh perunding yang dilantik untuk berunding dengan PH dan PN tidak boleh membuat sebarang keputusan sebaliknya menyerahkan kepada Majlis Tertinggi BN untuk memuktamadkannya.

Sementara itu Saravanan yang merupakan Timbalan Presiden MIC ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kedua-dua rundingan itu yang akan dibincangkan lebih lanjut di peringkat MT UMNO dan diputuskan Majlis Tertinggi BN.

BBerkaitan

Latest articles