BN Sabah Umum Kerjasama Dengan PH Untuk PRN17

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Sabah secara rasmi mengesahkan bakal bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN17) yang bakal datang.

Keputusan itu dimuktamadkan semasa pemukiman parti yang diadakan pada akhir tahun lepas, menurut Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Dalam sidang media sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kota Kinabalu, Bung Moktar, yang juga ketua UMNO Sabah dan Ahli Parlimen Kinabatangan, menyatakan bahawa perbincangan tidak rasmi dengan pemimpin PH Sabah telah diadakan beberapa kali dan akan disusuli dengan perbincangan rasmi dalam masa terdekat.

“Dalam sambutan Hari Raya ini pun banyak desas-desus yang kita dengar dan bertanya, ‘Umno Sabah bergabung dengan siapa?’ Saya kata, kita memang bergabung tetapi kita belum maklum sepenuhnya. Hari ini saya ingin memaklumkan bahawa UMNO Sabah telah mengadakan pemukiman dan kita memutuskan untuk bergabung dengan PH,” tegasnya.

Selain itu, Bung Moktar menambah bahawa BN Sabah tetap terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain yang menunjukkan kesungguhan, kesetiaan, dan mempunyai sokongan yang kuat, asalkan tidak terjebak dengan isu-isu partisan yang memihak kepada parti tempatan.

“Kita akan pertimbangkan untuk bergabung dengan parti lain. Walaupun isu-isu tentang keutamaan parti tempatan sering dimainkan, sebetulnya kita pun ada isu dengan parti tempatan,” ujarnya tanpa merujuk nama mana-mana pihak tertentu.

Berhubung strategi agihan kerusi pada PRN17, beliau menegaskan BN Sabah ingin mengekalkan 41 kerusi yang telah ditandingi dalam PRN16.

“Keutamaan kita adalah memberikan peluang kepada parti yang mempunyai ramai penyokong, kerana dalam pilihan raya ini, kemenangan bukan hanya mengenai mencapai kuota, tetapi kemenangan yang komprehensif,” tambah Bung Moktar.

Beliau juga mengesahkan bakal mempertahankan kerusi Lamag yang diwakilinya pada pilihan raya akan datang.

BBerkaitan

Latest articles