KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah komited untuk memastikan lebih banyak suara etnik minoriti dan kumpulan terpinggir mendapat tempat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ketua Jawatankuasa Manifesto BN Sabah, Datuk Noraini Idris berkata, BN mencadangkan penambahan enam lagi kerusi ADUN lantikan menjadikan keseluruhan 12 kerusi lantikan jika diluluskanbagi membuka ruang penyertaan lebih luas.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memberi peluang kepada komuniti kecil dan kumpulan yang selama ini tidak mempunyai wakil, termasuk golongan profesional serta Orang Kurang Upaya (OKU).
“Dengan tambahan ini, DUN Sabah akan mempunyai 85 ADUN. Namun, ia memerlukan pindaan Perlembagaan Sabah,” katanya pada sidang media selepas pelancaran manifesto BN Sabah di Bangunan UMNO Sabah.
Noraini turut menegaskan masih ada etnik tertentu di Sabah yang belum pernah mendapat representasi dalam DUN, justeru perlu diberi ruang agar pembangunan negeri benar-benar mencerminkan kepelbagaian rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyentuh soal perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen, dengan menegaskan kedua-dua negeri patut diberikan 35 peratus kerusi iaitu lebih tinggi daripada cadangan satu pertiga, supaya dasar baharu kerajaan Persekutuan tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Borneo.
Katanya, pendirian itu selari dengan dapatan Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan penting bagi menjaga keseimbangan kuasa serta kepentingan negeri.










