KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, memaklumkan BN Sabah akan menambah beberapa perkara di dalam manifesto BN bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) membabitkan konteks Sabah.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, penambahan manifesto itu adalah atas permintaan BN Sabah yang juga turut dipersetujui BN Pusat.
Tambah Bung Moktar, perkara itu realistik dan relevan serta bukan semata-mata hanya untuk memancing undi rakyat.
“Ia (manifesto) mesti datang dari pemimpin Sabah, (dan) kita sudah rangka dan akan bentangkan nanti… sudah hampir siap, tidak banyak (penambahan)…cuma ada penambahan dua tiga perkara sebab manifesto BN (yang diumumkan) sudah cukup lengkap,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri ceramah perdana bersama calon Parlimen Sepanggar Datuk Yakub Khan di Dewan Kampung Warisan, malam tadi.
Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, ia akan diumumkan sebelum hari pengundian pada 19 November ini.
Pada Isnin lepas, BN menerusi Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah melancarkan manifesto dengan menampilkan Perancangan Amal dan Usaha BN atau ringkasnya Padu, jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).