SANDAKAN,- Barisan Nasional (BN) dijadual mengadakan pertemuan dengan Pakatan Harapan (PH) dalam waktu terdekat bagi membincangkan secara terperinci rundingan agihan kerusi untuk Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pertemuan dengan pimpinan PH dijangka berlangsung pada 3 atau 4 November ini, dengan beberapa kerusi masih memerlukan penelitian lanjut kerana kedua-dua pihak menyatakan hasrat untuk bertanding di kawasan yang sama.
“Isu ini tidak boleh ditangguhkan lagi kerana penyokong di bawah semakin risau. Rundingan sudah mencapai antara 65 hingga 70 peratus. Dengan PH, setakat hari ini masih belum dimuktamadkan, jadi saya akan berjumpa dengan pimpinan untuk menyelesaikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, merasmikan Program Sentuhan Kasih Desa @ Libaran di Dewan Serbaguna Sri Libaran, di sini, hari ini.
Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah turut menegaskan bahawa semua pihak boleh mengemukakan calon masing-masing untuk jawatan Ketua Menteri, namun keputusan akhir hanya akan ditentukan selepas pilihan raya berlangsung.
Beliau mengulas laporan mengenai bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi, yang dikatakan antara calon Ketua Menteri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sebelum ini, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, mengesahkan Ruji tersenarai sebagai antara calon yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai










