BN NS Puas Hati Dengan Lantikan Empat Exco, Asalnya Minta Lima

KUALA LUMPUR: Walaupun pada asalnya meminta lima jawatan Exco, Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan bagaimanapun tetap berpuas hati dengan peruntukan empat jawatan Exco dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan.

Hal itu dinyatakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, sambil menambah, permintaan awal itu adalah berdasarkan fakta bahawa BN mempunyai jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tertinggi setelah memenangi 14 kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos lalu.

“Tetapi setelah kita mengadakan perbincangan bersama dengan BN dan Pakatan Harapan (PH) maka kita sudah capai keputusan secara kolektif untuk meletakkan kestabilan dalam Kerajaan Perpaduan sebagai keutamaan.

“Kita ambil kira dari pelbagai sudut maka kita setuju dengan pecahan Exco empat dari BN, empat dari DAP dan dua dari PKR,” katanya kepada pemberita.

ADUN Pertang itu berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco Kerajaan Negeri Sembilan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balairung Seri Istana Besar Seri Menanti di sini, hari ini.

Selain beliau, tiga lagi ADUN dari BN yang dilantik sebagai Exco ialah Datuk Ismail Lasim (Senaling), Datuk Mohd Faizal Ramli (Linggi) dan Mustapha Nagoor (Palong).

Dalam masa yang sama, Jalaluddin menyifatkan pelantikannya sebagai Exco Kanan yang julung-julung kali diwujudkan secara rasmi dalam pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan sebagai pengiktirafan kepada BN.

Menurut beliau, selain memastikan portfolio yang diamanahkan kepadanya dilaksanakan dengan baik, keutamaan akan diberikan untuk memastikan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan dalam keadaan stabil.

“Kita akan memastikan Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan menjadi contoh bagi negeri-negeri lain,” jelasnya.

BBerkaitan

Latest articles