More

    BN Mungkin Boleh Bekerjasama Dengan PN Jika Diketuai Hamzah, Bukan Muhyiddin

    KUALA LUMPUR: Seorang sumber Bersatu mendakwa kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) boleh diwujudkan sekiranya gabungan itu untuk tidak dipimpin oleh Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertegas mahu menjadi Perdana Menteri.

    Memetik FMT, sumber yang sama mendedahkan, UMNO mungkin lebih terbuka untuk bekerjasama jika ia dipimpin oleh pemimpin yang lebih pragmatik seperti Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    “UMNO tahu Muhyiddin mahu menamatkan riwayat parti itu, jadi bagaimana mereka boleh bekerjasama dengan PN.

    “BERSATU pimpinan Hamzah boleh bekerjasama dengan UMNO dan PAS. Kunci kepada penerimaan UMNO ialah Hamzah, yang tidak mahu ‘membunuh’ UMNO, bukan seperti Muhyiddin.

    “Beliau lebih terbuka untuk berkongsi kuasa (dengan UMNO). Realitinya semua orang tahu gabungan UMNO-BERSATU-PAS tidak akan dapat dihalang,” katanya seperti dipetik FMT.

    Dalam pada itu, pasca PRU15 bakal menyaksikan tempoh penting bagi ‘penyatuan’ BN-PN dan rakyat menantikan Muafakat Nasional 2.0 seperti itu, kata sumber itu lagi.

    Pada September lalu, Muhyiddin mengisytiharkan ‘perang’ terhadap BN dan mengatakan bahawa gabungan itu akan menjadi musuh utama PN pada PRU15 dan PN tidak perlu takut untuk berhadapan dengan mereka.

    Pada PRU15, kesemua parti tidak mendapat majoriti dan menyebabkan Parlimen tergantung kerana tiada gabungan memenangi kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

    Pakatan Harapan mempunyai 82 kerusi, termasuk satu kerusi daripada MUDA dan lima daripada DAP Sarawak serta mempunyai jumlah terbesar dalam kalangan gabungan itu, manakala PN memenangi 73 kerusi dan daripada jumlah itu PAS menyumbang 49 kerusi. BN pula memenangi 30 kerusi dengan UMNO memperoleh 26 kerusi.

    Berikutan itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan PN dan PH bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan.

    Bagaimanapun PN menolaknya kerana sudah menjadi prinsip gabungan terbabit sejak dahulu untuk tidak bersama PH.

    Hamzah kemudian berkata, Majlis Tertinggi PN bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk Kerajaan Perpaduan dengan PH, tetapi Muhyiddin menutup pintu untuk sebarang kerjasama, sambil menambah bahawa gabungannya akan menjadi pembangkang.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini