KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) melancarkan Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) sebagai manifesto yang ditawarkan parti terbabit kepada rakyat negeri ini.
Manifesto terbabit dirangka berdasarkan enam teras yang menumpukan pembangunan infrastruktur asas, peningkatan ekonomi rakyat serta pengembalian hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dalam manifesto itu BN berikrar untuk menyiapkan Pan Borneo dalam tempoh lima tahun disamping menubuhkan Suruhanjaya Air Sabah dan meningkatkan kapasiti tenaga sehingga 5,000 megawatt.
Peluasan internet seluruh Sabah, pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu dan pembukaan Pelabuhan Kudat turut menjadi fokus yang ditekankan dalam manifesto RPS1.
Selain itu, RPS1 turut menawarkan 15,000 unit Rumah SabahKu setahun, bantuan rumah mangsa bencana dan skim tunai B40 melalui MYMAS.
BN juga mencadangkan Dana Kemakmuran Negeri Sabah serta pemberian RM1,000 Amanah Saham Anak Sabah (ANAS) kepada setiap bayi bermula tahun 2026.
Pembentangan manifesto itu dibuat Bendahari BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak ketika majlis pelancarannya yang diadakan bertempat di Bangunan UMNO Sabah, di sini, hari ini.
Majlis terbabit turut dihadiri Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin.
Bagi reformasi sosial, BN mengusulkan penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Sabah serta insentif i-Suri RM600, selain komitmen 30 peratus penyertaan wanita dalam perkhidmatan awam.
Dalam pada itu, BN turut menegaskan komitmen melaksanakan pemulangan 40 peratus hasil Sabah, menubuhkan Jawatankuasa Khas DUN memantau MA63 dan menuntut wakil Sabah dalam semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di peringkat Persekutuan.
Bagi golongan belia, RPS1 turut menawarkan Rumah Casa Belia tanpa deposit, Dana Belia Niaga, litar sukan permotoran serta Dana Sukan Anak Muda termasuk e-sukan.
Sektor minyak dan gas diperkasa melalui Majlis Petroleum Sabah, kuota 50 peratus pekerja mahir anak Sabah dan 30 peratus penyertaan syarikat tempatan dalam kontrak, selain penambahan peluang pengajian di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP).










