KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik sekiranya ia tidak mendapat majoriti selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).
Perkara itu dinyatakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan berkata, langkah itu perlu bagi memastikan BN berjaya membentuk kerajaan selepas 19 November depan.
“Kalau 85 kerusi yang dimenangi jelas kita tak mampu untuk bentuk kerajaan, jadi tentu sahaja kita akan bekerjasama dengan parti lain contohnya GPS dari Sarawak, GRS dari Sabah atau apa parti yang akan ditentukan parti selepas PRU15,” katanya menjawab pertanyaan media selepas merasmikan Media City Angkasapuri di Angkasapuri hari ini.
Terdahulu penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan menjangkakan BN mampu meraih kemenangan 80 hingga 85 kerusi Parlimen di Semenanjung yang mempunyai majoriti sekurang-kurangnya 65 peratus pengundi Melayu.
Namun, beliau berpandangan ia masih tidak mencukupi untuk BN mendapatkan majoriti mudah 112 kerusi.
Maka, BN memerlukan sokongan parti-parti lain khususnya di Sabah dan Sarawak untuk kembali membentuk kerajaan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, apa pun, BN akan bertindak melihat dahulu keputusan PRU15 sekiranya berpihak kepada gabungan itu atau pun tidak.
“Apa hal pun kita tunggu dahulu keputusan pilihan raya, parti akan membuat keputusan (selepas PRU15),” kataya lagi.