BN Kelantan Yakin Sokongan Pengundi Semakin Bertambah

KUALA LUMPUR: Tidak mustahil bagi Barisan Nasional (BN) Kelantan memenangi lebih sembilan kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan sokongan oleh rakyat, terutama pengundi muda serta pengundi luar, terhadap BN kini dilihat amat memberangsangkan.

“Saya pernah kata, kita menyasarkan sembilan kerusi tetapi mungkin boleh menang lebih daripada itu sebab sambutan daripada pengundi di negeri ini sangat memberangsangkan.

“Oleh itu, tidak mustahil BN Kelantan mampu menawan semula negeri ini pada PRU15 berdasarkan rekod pencapaian, selain gelombang rakyat yang mahu menyokong BN,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Jentera BN Kelantan PRU15, malam tadi.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan yang juga penyandang kerusi Parlimen Machang, menegaskan pihaknya tidak tergugat dengan calon Bersatu yang akan bertanding menggunakan lambang PAS.

“Saya juga tidak nampak ada kelebihan apabila Bersatu menggunakan logo PAS, kerana pengundi tahu mereka daripada parti mana sebenarnya.

“Rakyat tidak akan terperdaya dengan taktik itu. Bagaimana pengundi mahu menyokong sedangkan mereka tidak yakin dengan lambang parti sendiri.

“Lebih baik mereka mengumumkan keluar Bersatu dan menyertai PAS. Namun, saya pasti rakyat dapat menilai,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles