BN Kalah Teruk Lagi, Ahmad Zahid Digesa Letak Jawatan

KUALA LUMPUR: Gesaan untuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk berundur semakin kedengaran susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri semalam.

Bekas Ahli Parlimen Besut, Tan Sri Idris Jusoh dalam satu hantaran di Facebook juga menegaskan bahawa Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN perlu mengambil tanggungjawab atas kekalahan itu.

“UMNO kalah teruk di PRN, semalam. UMNO kalah 100 peratus di Terengganu. (Ahmad) Zahid Hamidi perlu letak jawatan,” tulisnya dalam satu hantaran ringkas di Facebook hari ini.

Keputusan PRN di enam negeri semalam menunjukan BN mencatatkan prestasi paling buruk dalam sejarah parti itu.

Parti itu hanya memenangi 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 108 kerusi ditandingi di Selangor, Terengganu, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Di Terengganu BN gagal menawan mana-mana kerusi DUN termasuk mempertahankan 10 kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu iaitu Hulu Besut, Jertih, Kuala Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemong, Bukit Besi dan Kijal.

Lebih mengejutkan beberapa nama besar daripada BN termasuk dua bekas Menteri Besar Terengganu iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Said dan Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abdul Rahman kecundang di kerusi tradisi BN.

BBerkaitan

Latest articles