BN Janji 3 TPM Jika Menang Dominan

PAPAR: Jaminan melantik wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri akan dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jawatan tiga TPM itu akan diwujudkan jika BN muncul dominan untuk membentuk kerajaan Persekutuan pada PRU15 nanti.

“Dalam konteks negeri ini, cadangan terbabit akan dimasukkan dalam manifesto BN Sabah sebelum PRU15,” katanya pada sidang media selepas Perasmian Program Gelombang Biru BN Zon 3, semalam.

Turut disempurnakan adalah Gimik Pelancaran Projek Naik Taraf Jalan Bukit Manggis dan Projek Pembinaan Masjid Kedua Pekan Bongawan.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi BN merangkap Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Yang hadir sama, Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif mewakili Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, berkata jawatan tiga TPM itu boleh juga digunakan oleh BN Sabah dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai manifesto di peringkat negeri.

“Saya yakin Perdana Menteri akan terima cadangan ini kerana jawatan TPM tidak ada dalam Perlembagaan, itu sebabnya. Sebelum ini, hanya ada empat jawatan menteri kanan.

“Jadi tidak mustahil tiga jawatan TPM diwujudkan sekiranya BN menang dengan dominan. Jawatan itu akan disandang oleh mana-mana pemimpin dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung,” katanya.

Beliau juga mencadangkan BN Sabah memasukkan dalam manifesto mengenai peruntukan dari kerajaan Persekutuan disalurkan terus kepada kerajaan negeri sekiranya BN dominan dalam pembentukan kerajaan.

“Saya cadangkan agar Pengerusi BN Sabah memohon kepada kerajaan Persekutuan agar peruntukan yang selama ini disalurkan melalui kementerian di peringkat Persekutuan agar dapat disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

“Ia boleh disalurkan melalui kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri agar pelaksanaannya boleh dibuat oleh mereka sendiri,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles