KUALA LUMPUR: Tindakan Barisan Nasional (BN) yang ingin menggunakan lambang dacing dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang disebabkan gabungan Kerajaan Perpaduan belum mempunyai logo rasmi setakat ini.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam masa yang sama memberitahu pihaknya maklum dengan keputusan BN yang mahu menggunakan lambang dacing.
“Buat masa sekarang untuk berdepan dengan PRN aspek penggunaan logo ini adalah dalam domain keputusan gabungan politik itu sebab UG (Kerajaan Perpaduan) tidak ada logo.
“PH dan BN ada logonya jadi dalam konteks itu Pengerusi BN yang juga Presiden UMMO, Datuk Seri Ahmad Zahid membuat keputusan sebab dalam domain BN.
“Apakah dia ada memaklumkan secara tidak rasmi, kami ada berjumpa hampir setiap hari termasuk perkara ini (isu logo).
“Ada dalam pengetahuan kita (PH) sebab kita bersembang dan jumpa di Parlimen bertanyakan sambutan di Kedah, Pulau Pinang. Adalah anjakan pengundi Melayu,” katanya dalam sesi dialog Menteri Dalam Negeri bersama media di kementeriannya, semalam.
Ahmad Zahid, pada semalam menyatakan bahawa kesemua calon BN akan menggunakan lambang dacing bagi PRN di enam negeri nanti.
Malah Ahmad Zahid berkata parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan pula akan menggunakan lambang pilihan masing-masing bagi calon mereka.
Sementara itu Saifuddin menambah, Jawatan Sekteriat Kerajaan Perpaduan telah bersetuju beberapa parameter dalam proses rundingan kerusi sempena PRN.
Jelasnya, formula perundingan kerusi antara PH dan BN telah dimulakan namun ianya masih belum diselesaikan dalam pertemuan sebelum ini.
“Di peringkat PH dan BN perundingan tentang formula pengagihan kerusi telah pun dibuat, tapi tidak selesai sekali sahaja kena ada siri rundingan.
“Kami sudah bersetuju dengan beberapa parameter yang akan memandu proses rundingan agihan kerusi.
“Sudah pun dipersetujui beberapa parameter,” katanya lagi.