BN Gesa Tindakan Pihak Berkuasa Ke Atas Penyebar Fitnah Aku Janji

KUALA LUMPUR: Pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyebarkan aku janji palsu kononnya ditandatangani calon-calon Barisan Nasional (BN) perlu dikenakan tindakan undang-undang.

Calon BN bagi Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah meminta pihak berkuasa menyelesaikan segera siasatan berkaitan penyebaran surat aku janji palsu itu kerana ia mengganggu-gugat kestabilan dan menimbulkan imej tidak baik kepada parti.

“Saya harap mereka menyiasat semua laman media yang menyebarkan maklumat dan perkara yang tidak benar ini.

“Saya meminta agensi penguatkuasa menggunakan peraturan yang mereka ada, siasatlah.

“Dan bawa ke muka pengadilan mana-mana pihak yang melakukan fitnah yang tidak benar,” katanya.

Minggu lalu tular kertas aku janji palsu kononnya meminta calon untuk kekal menyokong segala tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ini termasuk mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri sekiranya BN memenangi Pilihan Raya Umum ke-15.

Kertas aku janji yang tular tersebut menggunakan kepala surat UMNO dan tertera nama Shamsul Anuar.

Susulan itu, pegawai Khas beliau, Datuk Azizan Md Zin telah membuat laporan polis berkaitan penyebaran aku janji itu minggu lalu.

Shamsul Anuar tidak mahu fitnah menjadi kempen parti politik menjatuhkan pihak lawan.

Beliau yang menjadi mangsa fitnah tersebut berkata, pihak lawan sepatutnya mengguna dan mengamalkan demokrasi dengan bijaksana.

Pengarah Komunikasi BN itu juga meminta supaya rakyat dan pengundi mendapatkan berita mengenai parti itu daripada sumber yang boleh dipercayai seperti laman rasmi parti itu.

“Mengamalkan politik fitnah ini bukan budaya kita. Sebab itu kita harap hentikan perkara ini. Amalkan pendekatan politik yang bijaksana kerana rakyat pandai membuat penilaian.

“Kepada rakyat Malaysia apa sahaja berkaitan dengan calon dan BN harap rujuk kepada laman rasmi parti. Itu yang tepat dan betul. Ini yang saya harap pada rakyat Malaysia,” kata Shamsul Anuar.

BBerkaitan

Latest articles