SUNGAI BULOH: Dengan turut mengambil kepentingan kesihatan awam, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin berkata beliau berpuas hati dengan manifesto Perancangan Amal dan Usaha (PADU) yang dilancarkan semalam.
Malah selaku Menteri Kesihatan, Khairy percaya manifesto BN yang menawarkan perbelanjaan kesihatan awam sebanyak 5 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menepati keperluan rakyat pada masa ini.
“Saya lihat PADU BN sebagai realistik, ia tidak menjanjikan bulan dan bintang. Saya berpuas hati dengan manifesto yang telah dibentangkan.
“Saya melihat komitmen kepada perbelanjaan kesihatan sangat baik sebanyak 5 peratus dari KDNK.
“Angka ini saya telah kemukakan dua bulan lepas supaya perbelanjaan kesihatan awam adalah 5 peratus dari KDNK dan telah dimasukkan dalam manifesto PADU BN,” katanya kepada pemberita selepas membuat Lawatan Kasih di Klinik Komuniti kepada ibu dan anak di Saujana Utama, hari ini.
Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Manifesto PADU BN sebagai tawaran untuk rakyat bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahmad Zahid berkata, PADU yang menawarkan 99 perkara baharu dan segar itu kepada rakyat Malaysia akan menjadi panduan kepada BN dalam mengemudi tanah air untuk menjadi negara berkemajuan.
Menurut Khairy, PADU merangkumi pelbagai inisiatif untuk golongan muda khususnya berkaitan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN dan peningkatan kemahiran sumber manusia.
“Ini sangat penting untuk kita mengukuhkan ekonomi negara dengan mengutamakan prospek anak muda dari segi latihan dan pendidikan tinggi.
“Pekerja gig ekonomi yang selama ini tidak mendapat perlindungan, dengan manifesto PADU BN mereka juga diberi perlindungan,” katanya.
Selain itu, PADU BN yang menawarkan pakej bantuan kepada mereka berpendapatan RM2,000 dan ke bawah dapat menambah baik kehidupan anak muda dengan meletakkan harga lantai paras gaji semasa.
“Kita harap dengan lantai tersebut dan usaha untuk menaik taraf kemahiran maka ia akan dapat menaikkan gaji rakyat Malaysia,” katanya lagi.