BN Buka Ruang Rundingan Calon PRK Kinabatangan, Lamag

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan mengadakan perundingan menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan, khususnya parti-parti yang membentuk kerajaan negeri Sabah, bagi menentukan calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu perlu kerana BN merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah.

Menurutnya, rundingan bukan sahaja akan melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), malah turut merangkumi parti-parti lain yang pernah bertanding di DUN Lamag sebelum ini.

“Oleh sebab BN berada dalam kerajaan negeri, tidak mustahil perbincangan diadakan dengan semua pihak. Bagi Parlimen Kinabatangan pula, rundingan juga akan dilaksanakan kerana tempoh penggal Parlimen masih berbaki sekitar 24 bulan. Jika persetujuan bersama dapat dicapai, ia adalah pendekatan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung IPF Malaysia.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan pemergian penyandangnya, Bung Moktar Radin, yang meninggal dunia pada usia 66 tahun di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu pada 5 Disember lalu.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan satu mesyuarat berkaitan urusan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag akan diadakan pada 16 Disember ini.

BBerkaitan

Latest articles