BN Bincang Permohonan PBM

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai gabungan itu akan dibincangkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN pertengahan bulan ini.

Lebih lanjut Mohamad berkata, beliau ada menerima kunjungan bakal Presiden PBM Datuk Zuraida Kamaruddin di pejabatnya pada bulan lepas yang menyatakan hasrat PBM untuk menyerai BN, namun perkara itu memerlukan persetujuan bersama oleh parti komponen lain.

“Saya ada bertemu dengan Datuk Zuraida di pejabat saya bulan lepas yang menyatakan hasrat parti PBM menyertai BN. Saya telah menyatakan kepada beliau, BN bukan diputuskan oleh seorang sahaja, tetapi keputusannya mesti dibuat secara konsensus.

“Semua pihak dan parti komponen dalam BN bersetuju, baru boleh. Kalau ada satu pihak atau parti tidak bersetuju, ia tidak akan dilakukan. Saya telah minta beliau menulis surat kepada Pengerusi BN berkenaan perkara itu untuk dipertimbangkan dalam mesyuarat BN nanti,” katanya.

Terdahulu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang bermula hari ini sehingga Khamis.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO turut berkata, selain PBM, terdapat juga beberapa parti lain turut menyatakan hasrat untuk menyertai BN.

“Dari semasa ke semasa, ada parti yang ditubuhkan menyatakan hasrat untuk menganggotai BN, tetapi kebanyakannya kami minta untuk menjadi rakan BN terlebih dahulu. Kebanyakan parti ini tiada wakil rakyat dan ahli Parlimen, tetapi PBM ini lain sedikit kerana mereka mempunyai wakil rakyat.

“Pertimbangan daripada pelbagai sudut mesti diperhalusi dan kami juga tidak mahu ada pihak lain rasa tidak senang hati jika kami menerima sesuatu parti masuk menjadi anggota BN. Jadi, ia akan dibahas dan dibincang dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles