SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) tidak akan sesekali mencampuri urusan mahkamah jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan yang menggesa para pengundi tidak mudah mempercayai propaganda pembangkang yang terdesak hendak menang pilihan raya.
“Saya berharap orang ramai tidak terkeliru dengan tindakan pemimpin pembangkang yang sengaja buat dakyah, sebaliknya berfikir secara matang.
“Harus diingat, selepas mereka (pemimpin pembangkang) gagal menunaikan segala janji yang dibuat selepas menang PRU14 dulu, kini mereka mencari modal menyerang dan mencari isu-isu peribadi pemimpin UMNO tertentu.
“Orang UMNO dan jentera parti diharap tidak terpedaya dan kepada pengundi, saya yakin mereka dapat membuat penilaian sewajarnya. Jangan kata bila menang UMNO akan lepaskan orang itu (penjara), kita tidak akan buat begitu,” katanya kepada pemberita selepas menemui peniaga dalam kempen PRU15 di Pasar Malam Taman Tuanku Jaafar, Senawang, lewat petang tadi.
Mohamad yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Rembau menolak tanggapan ramai pihak kononnya gabungan itu akan membebaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada penjara, selain menutup salah laku membabitkan pemimpin UMNO.
“Cuba lihat rekod BN, sewaktu memerintah dulu ramai pemimpin parti yang dipenjarakan, Datuk Harun Idris, Datuk Mokhtar Hashim, Datuk Seri Khir Toyo (bekas Menteri Besar Selangor).
“Walaupun kes mereka sama seperti yang berlaku ketika Pakatan Harapan (PH) apabila menang saja banyak kes membabitkan pemimpin mereka digugurkan atau ditarik balik (pertuduhan di mahkamah).
“Jadi, siapa yang salah guna proses undang-undang (mahkamah). Di zaman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekarang, Datuk (Seri) Najib masuk penjara dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Pengerusi BN), kesnya masih berjalan dan tidak ditarik balik,” katanya.
Bercakap mengenai pilihan raya, Mohamad berkata, pihaknya menjalankan kempen secara berhemah dengan tidak menyerang atau menyentuh mana-mana pihak atau individu tertentu.
“Saya sudah minta anak buah supaya tidak memburukkan sesiapa, kita kempen secara sihat, kita cuba menyantuni seramai mungkin pengundi.
“Saya hanya cakap bahawa pengundi perlu beri peluang kepada BN untuk kita menubuhkan kerajaan yang mantap dan stabil selepas PRU15 ini.
“Cukup-cukuplah kerosakan kepada negara yang telah berlaku selama empat tahun lebih ini, kita tidak mampu lagi berada dalam keadaan sebegini,” katanya.
Mohamad yang pertama kali bertanding di peringkat Parlimen berdepan saingan daripada empat pencabar lain iaitu Mohd Nazree Mohd Yunus daripada Perikatan Nasional (PN), Jufitri Johar (PH), Ramly Awaluddin (PEJUANG) dan S Tinagaran (PSM).