BANTING: Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ceramah kempen gabungan itu mendakwa PN mampu menjadi kerajaan yang baik.
“Kita (PN) minta BN berehat dahulu berhentilah memerintah biar naik kerajaan baharu dan bagi PN memerintah satu penggal tengok bagaimana kita buat.
“Kita telah buktikan program yang kita sebut best, bersih dan stabil… kita sudah buktikan,” katanya di pentas PRU15 di Kampung Kanchong Darat, lewat malam tadi.
Hadir sama adalah Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Wanitanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Malah Presiden PAS itu merujuk kebolehan negeri-negeri yang ditadbir PN yang didakwanya bersih dan tidak ada salah laku.
“Kerajaan yang kita perintah Kelantan, Terengganu dan Kedah bersih tidak ada salah laku. Tidak ada rasuah dan salah laku, Terengganu kita perintah tiga kali juga tidak ada salah laku.
“Kedah kita memerintah dua kali tidak ada salah laku, PN yang kita perintah dalam dua tahun juga tidak ada salah.
“Kita sudah buktikan, kes mahkamah dalam pemerintahan kita itu kes dahulu masa BN, kita sambung perbicaraannya. Masa PH memerintah ada kes rasuah berhenti di tengah jalan,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi mendakwa PN sudah semakin hampir untuk menguasai kerajaan negeri Pahang apabila meramalkan PAS akan mengekalkan lapan kerusi yang pernah dimenangi mereka pada PRU14 lalu.
“Di Perlis kita ambil Datuk Seri Shahidan Kassim, dan di Pahang kita ambil Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib jadi calon PN. Ini isyarat kita nak tembusi Perlis dan Pahang, InsyaAllah kita akan tawan Perlis dan juga Pahang.
“Di Pahang kita sudah ada lapan kerusi menang (PRU14) dan memerlukan empat kerusi lagi untuk tubuh kerajaan, sekurang-kurangnya kita dominasi kerajaan negeri,” katanya ketika mengulas mengenai tindakan PN mengambil calon yang digugurkan BN iaitu Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib bagi Parlimen Maran, Pahang.
Pada PRU14 lalu, PAS memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antaranya Beserah, Tanjung Lumpur, Luit, Panching, Tahan, Chenor, Jengka dan Damak.