BN Bantu Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR: Menyedari ramai kalangan penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor terkesan dengan bencana banjir, Barisan Nasional (BN) menggerakkan jenteranya untuk membantu mangsa.

Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan jentera parti untuk membantu mereka yang terlibat diketuai oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

“Saya dengan ini mengarahkan dengan rasminya di depan perwakilan MCA bahawa Setiausaha Agung BN (Dr. Zambry) akan mengetuai misi untuk membantu mangsa banjir bagi pihak BN.

“Bukan sekadar MCA, UMNO, MIC atas nama BN akan menggerakkan jentera untuk membantu mangsa banjir di kawasan yang terlibat.

“Malah, UMNO telah mengerahkan di bahagian masing-masing untuk membantu turun menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Perwakilan MCA, hari ini.

Tambahnya lagi, bantuan yang disalurkan BN menunjukkan keprihatinan parti itu kepada rakyat.

Katanya, kerajaan melakukan sesuatu melalui jabatan dan agensinya, tetapi kerana BN lebih dekat di hati rakyat, maka BN wajib memberikan bantuan supaya terus dekat dan diterima oleh rakyat.

Terdahulu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dalam ucapan berkata, seluruh jentera parti itu akan turun ke semua kawasan bagi membantu mangsa banjir.

BBerkaitan

Latest articles