KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan pada Sabtu ini akan memuktamadkan siapakah rakan dan lawan parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata, mesyuarat yang akan diadakan di Kuala Lumpur itu akan memuktamadkan pemilihan antara Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) yang turut disertai Parti Bersatu.
Mengulas mengenai kecenderungan PAS untuk bekerjasama di antara kedua-dua pihak berkenaan, Idris menegaskan parti itu ingin bekerjasama dengan PN dan UMNO.
Dalam pada itu mesyuarat itu juga akan membincangkan isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri yang diterajui parti itu di Kedah, Kelantan dan Terengganu secara serentak sekiranya Parlimen dibubarkan untuk membeli laluan kepada PRU15.
“Nanti Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan keluarkan kenyataan rasmi berhubung isu ini. Insyaallah sebelum hujung minggu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sidang media Pra Pelancaran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-6 2O22 di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), hari ini.
Sebelum ini, Takiyuddin memaklumkan PAS yang menerajui tiga negeri itu tidak akan membubarkan DUN lebih awal daripada Mac tahun depan.