TAWAU: Barisan Nasional (BN) terus memperkukuh agenda pembaharuannya apabila menampilkan 80 peratus calon muda pada Pilihan Raya Umum (DU) Dewan Undangan (DU) Sabah Ke-17, sekali gus menunjukkan kesungguhan parti memberi ruang lebih kepada generasi baharu.
bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata langkah itu selaras dengan keperluan semasa politik negara yang semakin menuntut kepimpinan segar dan lebih dekat dengan aspirasi anak muda.
Menurutnya, kehadiran ramai golongan muda pada ceramah BN di Kampung Batu Payung semalam membuktikan bahawa sokongan generasi baharu terhadap parti masih kukuh.
“Ramai anak muda hadir malam ini. Kalau ada yang kata orang muda tak kenal BN atau tak sokong BN, itu tidak betul.
“Untuk kesinambungan parti, kita perlu ramai pemimpin muda. Yang lama akan beri laluan, yang muda akan ambil tempat,” katanya ketika ditemui selepas program itu,” katanya.
Nazri berkata, politik hari ini menuntut pembaharuan yang bukan sekadar kosmetik, tetapi turut melibatkan penyertaan pemimpin baharu dalam barisan kepimpinan.
“Saya umur 36 sudah berada dalam kerajaan. Jadi anak muda hari ini juga mampu. 40 tahun sudah berlalu, pendekatan politik pun berubah,” katanya.
Mengulas perkembangan Tawau, Nazri berkata daerah itu jelas menunjukkan perubahan ketara berbanding ketika beliau mula mengenalinya empat dekad lalu.
“Kalau bandingkan Tawau dulu dan sekarang, memang banyak perbezaan. Sebahagian besar pembangunan itu berlaku ketika BN mentadbir,” katanya.
Beliau percaya kestabilan politik Sabah akan terus membuka lebih banyak peluang pembangunan, terutama dengan penglibatan lebih ramai pemimpin muda.
Dalam pada itu, Nazri menzahirkan ketidaksetujuannya terhadap slogan ‘Sabah for Sabahan’ yang menurutnya bercanggah dengan semangat perpaduan negara.
“Saya tidak setuju. Ia bercanggah dengan undang-undang dan boleh memecahbelahkan negara.
“Orang Sabah ramai di Semenanjung. Kalau kita kata Sabah hanya untuk Sabah, itu tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata slogan itu tidak wajar diketengahkan kerana hanya mencetuskan jurang antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Ceramah berkenaan turut dihadiri calon BN DUN Apas, Dr Elmiariezan Ardan, bersama ramai penyokong termasuk majoriti anak muda.
Nazri menegaskan bahawa masa depan politik negara adalah milik generasi baharu, dan BN mesti berani mengangkat kepimpinan muda untuk memastikan parti terus relevan.
“Kita mesti beri ruang kepada orang muda. Merekalah pembawa harapan dan masa depan politik negara,” katanya.










