Bincang Soal Kerusi Tak Semestinya Dengan Ahmad Zahid – PAS

ALOR SETAR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membalas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkenaan rundingan kerusi berkenaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

 

Mengakui pihaknya masih belum membuat perbincangan dengan Datuk Seri Dr Ahmad Hamidi, Takiyuddin dalam masa yang sama berkata rundingan tersebut tidak semestinya perlu dilakukan dengan Presiden UMNO itu.

 

Ujarnya, setakat ini PAS melakukan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang mempunyai kedudukan dan peringkat tertentu secara rasmi dan tidak rasmi.

 

“Saya boleh mengesahkan sebagaimana yang Tuan Guru (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) beritahu kata kita berbincang dengan UMNO, tak semestinya dengan pemimpin-pemimpin tertentu (Presiden UMNO).

 

“Mungkin akan sampai masanya, tapi biasalah kita buat rundingan ini di peringkat-peringkat tertentu yang tak perlu kita dedahkan.

 

“Tapi saya mengesahkan bahawa kita ada berbincang secara rasmi dan tidak rasmi ada berbincang,” katanya kepada pemberita selepas penangguhan Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah hari ini.

 

Mohamad, pada hari ini mengingatkan PAS tidak mengadakan rundingan dalam gelap berhubung rundingan kerusi untuk PRU15.

 

Ia berikutan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa kedua-dua parti itu sedang berunding melibatkan pimpinan parti hingga ke peringkat akar umbi.

 

Lebih lanjut Takiyuddin berkata pertemuan pihaknya dengan beberapa pemimpin UMNO mampu membawa perbincangan itu secara rasmi kelak.

 

“Pemimpin-pemimpin yang kita rasa, tak semestinya boleh buat keputusan tetapi boleh menuju ke arah kita melakukan perbincangan lebih rasmi,” katanya.

 

Takiyuddin juga ditanya sama ada perbincangan itu melibatkan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

 

“Tak, yang berjawatan yang mempunyai standing untuk berbincang dengan kita,” ujarnya.

 

Dalam masa yang sama Takiyuddin percaya hubungan PAS-UMNO boleh dijernihkan semula susulan kenyataan Mohamad bahawa 27 kerusi berisiko berlaku pertembungan masih boleh dirunding.

 

“Kerusi yang mungkin dimenangi oleh pihak ketiga (PH), PAS dengan UMNO boleh berbincang untuk berunding. Mungkin tidak berlaku pertembungan yang menyebabkan pihak ketiga menang. Itu diakui saya rasa oleh Timbalan Presiden UMNO sendiri,” katanya.

 

Dalam pada itu, pintu rundingan itu sentiasa terbuka kepada UMNO, selari dengan kehendak ahli-ahli Pas di negeri-negeri dan agenda penyatuan ummah yang diluluskan dalam Muafakat Tahunan Pas ke-68 hari ini.

 

“Politik ini tak semestinya kita terus berada di meja perundingan secara rasmi sahaja, secara tidak rasmi pun begitu. Yang penting sekali saya rasa hasrat dan kehendak ahli-ahli (Pas) dalam UMNO pun saya rasa benda yang sama.

 

“Kita dwi sistem dalam pendirian kita, kita berunding dan sedia berunding dalam apa sahaja sekali pun selagi tidak sampai pembubaran, tak sampai PRU-15,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles