KUALA LUMPUR: Seorang Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin, tampil memberikan teguran terhadap sebuah hantaran di Facebook yang dibuat oleh seorang bekas guru, yang kini telah tular di media sosial.
Dalam sebuah video di akaun TikTok miliknya, Dr Abu Hafiz menzahirkan kebimbangan terhadap tajuk hantaran tersebut yang disifatkannya sebagai berpotensi menimbulkan salah faham dan provokasi, Walaupun individu berkenaan tidak secara langsung mengkafirkan sesiapa.
Katanya kandungan tersebut mempunyai unsur yang boleh ditafsirkan ke arah itu yang merujuk kepada Hantaran yang kini telah dipadam dari laman asalnya tetapi masih beredar di pelbagai platform lain yang membawa tajuk “Menteri Fahmi Fadzil, buktikan betapa hinanya Allah dan Nabi Muhammad SAW.”
@drabuhafiz♬ original sound – DrAbuHafiz
Menurut Dr Abu Hafiz, kenyataan ini boleh ditafsirkan sebagai berunsur takfiri kerana menghina Allah dan Rasul adalah satu perkara yang membawa kepada kekafiran, sebagaimana disebut dalam al-Quran dan hadis. Beliau turut memetik surah At-Taubah ayat 61 yang menyatakan bahawa Allah SWT melaknat mereka yang menyakiti Nabi SAW.
Fakta Yang Diputarbelitkan
Dr Abu Hafiz turut menegaskan bahawa premis yang digunakan dalam hantaran tersebut berasaskan fakta yang tidak tepat dan boleh mencetuskan salah faham dalam masyarakat. Beliau merujuk kepada perbandingan yang dibuat dalam hantaran tersebut mengenai beberapa kes berkaitan tindakan kerajaan:
– Kes Khidmat: 60,000 individu didenda dalam tempoh 3 bulan.
– Kes Harith Iskander & Cecilia Yap: Didenda RM10,000 dalam tempoh 1 bulan 14 hari.
– Kes pengacara radio Era: Didenda RM250,000 dalam tempoh 7 hari.
Menurut Dr Abu Hafiz, perbandingan ini tidak wajar kerana setiap kes mempunyai prosedur undang-undang yang berbeza. Beliau menjelaskan bahawa kes Khidmat bukanlah hukuman yang dijatuhkan oleh kerajaan secara langsung, tetapi oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam yang dipengerusikan oleh Hakim Muhamad Anas Mahadzir.
Sementara itu, kes Harith Iskander dan Cecilia Yap yang dikenakan denda RM10,000 adalah keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dan hukuman serupa telah dikenakan terhadap individu lain sebelum ini, termasuk di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.
Dalam kes pengacara radio Era pula, denda RM250,000 tidak dikenakan kepada individu tersebut, tetapi kepada syarikat penyiaran Mytro Broadcast selaku pengendali stesen radio berkenaan. Malah, pengacara tersebut telah digantung kerja oleh majikannya dan kemudian bertemu dengan Menteri Komunikasi serta Perdana Menteri untuk mendapatkan nasihat.
Kritikan Perlu Berlandaskan Fakta
Dr Abu Hafiz menegaskan bahawa kritikan terhadap kerajaan adalah perkara biasa dan dibenarkan dalam sistem demokrasi, namun ia perlu bersandarkan kepada fakta yang benar dan bukan sekadar sentimen serta emosi yang tidak tepat.
“Justeru, adalah amat mendukacitakan apabila fakta diputarbelitkan untuk mencipta naratif yang boleh membangkitkan kebencian,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa tuduhan yang dibuat dalam hantaran tersebut bukan sahaja salah dari segi etika dan undang-undang, tetapi juga bercanggah dengan prinsip Islam, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang sepatutnya menjadi waktu untuk memperbanyakkan ibadah dan menjauhi fitnah.
“Tajuk yang digunakan dalam hantaran itu mengandungi unsur takfir dan boleh membawa kesan serius. Memberi nasihat dan teguran adalah sesuatu yang dibenarkan, tetapi apabila ia melampaui batas dan menjadi ekstrem, maka tindakan undang-undang juga wajar dipertimbangkan,” ujarnya.
Di akhir hantarannya itu, beliau menggesa masyarakat agar lebih berhati-hati dalam menyebarkan maklumat, khususnya yang berkaitan dengan agama dan politik, bagi mengelakkan perpecahan serta ketegangan dalam kalangan rakyat katanya,