Bidang TVET Mampu Berkembang, IPT Digesa Ambil Peluang

LANGKAWI: Keperluan tenaga kerja yang baru, lebih-lebih lagi dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bokeh dikembangkan dan dibangunkan lagi dengan membuka peluang kepada Institut Pengajian Tinggi (IPT) tempatan untuk menerokainya.

Hal itu dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sambil menambah tawaran kursus yang baru mampu meluaskan potensi graduan lepasan TVET di negara ini.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga yakin penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23) selama lima hari bermula semalam adalah bertepatan dengan hasrat membangunkan bidang baru ini.

“LIMA ‘23 ada beberapa peluang untuk digali bagi pelajar-pelajar TVET dan saya meminta UniKL (Universiti Kuala Lumpur) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) untuk teroka kursus-kursus yang diperlukan di dalam negeri atau luar negeri untuk pelajar TVET kita.

“LIMA ‘23 adalah satu platform yang baik untuk TVET kerana terdapat 1,291 (institusi TVET), kerajaan membelanjakan RM6.8 bilion dan saya fikir keberkesanan kos perlu dibuat untuk menentukan bahawa pelajar-pelajar ini dapat masuk bidang mengikut kebolehpasaran dan juga bagi memenuhi guna tenaga penuh di negara kita,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Surat Niat (LoI) antara Aerostar Technologies (M) Sdn Bhd dan Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) bagi program pembaikan struktur pesawat di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), hari ini.

Terdahulu LoI itu ditandatangani Pengarah Eksekutif Aerostar Technologies Mejar (B) Afzal Hakimi Shaari dan Presiden UniKL Datuk Dr Roziah Omar.

Bercakap mengenai kerjasama Aerostar Technologies dan UniKL MIAT, Ahmad Zahid berkata ia memberi peluang kepada pelajar universiti itu mempelajari perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat dan jet pejuang di negara ini.

“Pelajar yang telah mengikuti kursus di MIAT ini 98 daripada mereka telah bekerja di luar negara dan tiga daripada mereka adalah pelajar lepasan maahad tahfiz yang telah menjadi jurutera dalam bidang penerbangan dan kali ini peluang yang terbaik adalah kerjasama antara pemain industri dengan pihak UniKL.

“Kita tahu UniKL adalah sebuah universiti TVET…ini merupakan langkah pertama kerana kita tahu bahawa ada pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang harus dinaikkan taraf dan penaiktarafan ini adalah penting untuk pemindahan teknologi dan pemindahan pengetahuan kepada anak-anak tempatan,” katanya.

Ahmad Zahid menaruh keyakinan pengalaman yang diperoleh pelajar TVET menerusi kerjasama dengan pengeluar jet pejuang dan pesawat sama ada dalam mahupun luar negara dapat membantu mereka menjadi usahawan dalam bidang MRO di peringkat antarabangsa.

Latest articles

Related articles

spot_img