KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disarankan untuk memperkukuhkan pembelajaran dan pengajaran dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) di sekolah-sekolah bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam arus teknologi moden.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif ini perlu dilaksanakan tanpa menjejaskan pendidikan asas, khususnya dalam bidang bahasa, budaya, dan agama Islam.
“Bagaimana masa depan kita? Bagaimana anak-anak kita dalam bidang Sains, Matematik, Bahasa Inggeris, kejuruteraan, dan AI di sekolah? Kita mahu sekolah-sekolah kita mula cenderung ke arah ini tanpa meninggalkan bahasa, budaya, sastera, dan Islam sebagai asas utama,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan akan memberi penekanan terhadap usaha ini walaupun berdepan kritikan.
“Kita akan mula memberi tekanan. Mungkin ada ibu bapa yang kurang bersetuju, mungkin parti pembangkang akan membantah. Tapi kita perlu fikir, adakah kita mahu menjaga hati mereka atau masa depan bangsa dan negara?” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani 2025 bersama Pimpinan Masyarakat Setempat Selangor di Dewan Raja Muda Musa, semalam.
Anwar turut menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh tunduk kepada kritikan pihak tertentu kerana tindakan sedemikian hanya akan menghalang kemajuan.
“Kalau kita asyik mendengar kritikan mereka, sampai bila pun usaha ini tidak dapat direalisasikan. Semua yang kita buat dikritik, tetapi apabila diberi peluang kepada mereka, langsung tiada tindakan,” tambahnya.