KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu menyerahkan mandat kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan masa yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran memaklumkan partinya telah memaklumkan hasrat itu kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
“Persoalan bila PRU harus diadakan ini, saya dengan rendah diri menggesa pucuk pimpinan BN untuk beri ruang yang secukupnya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita untuk tentukan masa paling sesuai adakan PRU-15,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di hadapan lebih 2,500 perwakilan dan pemerhati serta jemputan pada Perhimpuan Agung MIC yang ke-75 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam.
Vigneswaran dalam masa yang sama meluahkan bagaimana perjuangan bersama MIC di dalam BN sejak beberapa tahun dahulu, hasil daripada kerjasama dan persefahaman yang baik.
“Kita menang bersama, kita kalah bersama. Dan kita masih bersama – UMNO, MCA dan MIC – rakan sekutu untuk memajukan Malaysia demi memenuhi asipirasi rakyat kita.
“Dahulu ramai yang meramalkan Malaysia tidak mungkin maju kerana penduduknya yang berbilang kaum dan agama bak kata Inggeris, a ticking timebomb waiting to explode.
“Tetapi, apabila rakyat mempercayai dan mempunyai keyakinan yang tinggi dengan kerajaan, ia membolehkan pelbagai perancangan dilaksanakan dengan rapi dan baik. Inilah hasil kesatuan, kerjasama dan perpaduan itu.
“Konsep perkongsian kuasa BN yang telah diuji dan terbukti keberkesanannya selama lebih 60 tahun, kita haruslah kekal bahkan jadi lebih kukuh serta mantap,” ujarnya.