Biar Polis Tentukan – Saifuddin Ulas Kes Serangan Anak Rafizi

KULIM: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa beliau menyerahkan sepenuhnya kepada profesionalisme pasukan polis untuk menjalankan siasatan berhubung kes serangan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Menurut Saifuddin, sebaik sahaja sesuatu insiden dilaporkan kepada pihak berkuasa, adalah menjadi tanggungjawab hakiki Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh tanpa sebarang campur tangan pihak lain.

Beliau menjelaskan bahawa tempoh siasatan bergantung sepenuhnya kepada perkembangan kes serta kewujudan petunjuk atau bukti baharu yang diperoleh dari semasa ke semasa.

“Sama ada kes ini akan diklasifikasikan sebagai no further action (NFA) atau sebaliknya, ia bergantung kepada progres siasatan dan petunjuk baharu yang ditemui. Buat masa ini, kita biarkan proses berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan di sini, hari ini.

Saifuddin turut menegaskan bahawa beliau tidak bercadang untuk mengeluarkan sebarang arahan yang bersifat konklusif berkaitan status siasatan kerana ia boleh disalah tafsir sebagai campur tangan, lebih-lebih lagi sekiranya polis menemukan perkembangan baharu dalam kes tersebut.

“Soal pengelasan sama ada kes ini dimasukkan sebagai NFA atau tidak, saya serahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan dan profesionalisme pihak polis,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Saifuddin turut menyatakan rasa simpati terhadap insiden yang menimpa anak Rafizi dan mengakui beliau telah menghubungi Ahli Parlimen Pandan itu bagi bertanyakan khabar, bukan sahaja ketika kejadian berlaku, malah selepas insiden tersebut.

Semalam, Rafizi dilaporkan berkata beliau bercadang untuk menulis surat kepada Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri serta pihak polis bagi mengusulkan supaya siasatan kes serangan ke atas anaknya diklasifikasikan sebagai NFA.

Menurut Rafizi, cadangan itu akan dibuat sekiranya beliau merasakan siasatan tersebut tidak menunjukkan sebarang perkembangan selepas tempoh tertentu.

Beliau turut menjelaskan bahawa langkah tersebut bertujuan mengelakkan anggota polis yang sekadar melaksanakan arahan daripada terus membuang masa menyiasat kes yang disifatkannya tidak membawa ke mana-mana hasil.

“Lagipun, Perdana Menteri sendiri yang cepat mengarahkan supaya siasatan dijalankan secara telus. Kalau lebih enam bulan masih tak ke mana, malu PMX. Lebih baik saya sendiri tawarkan supaya siasatan ditutup demi jaga air muka PMX,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

BBerkaitan

Latest articles