Biar PAS Tentukan Sendiri Tarikh PRN Di Tiga Negeri – Abdul Hadi

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata parti akan membuat keputusan sendiri mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk tiga negeri di bawah pimpinan parti itu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Tambah beliau, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan bermesyuarat bagi menetapkan tarikh berkenaan.

Katanya, terpulang kepada tiga negeri lain di bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang sama ada akan mengikut tarikh yang ditetapkan itu nanti.

“Kita akan ada keputusan tersendiri, perkara itu akan dibincang pada mesyuarat akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Semarak Gelombang Rakyat menyokong Perikatan Nasional (PN) dan Kenduri Rakyat di Ladang Alam Warisan, Kampung Tanah Datar, Seri Menanti, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, DUN negeri ini dijangka dibubarkan pada Mei ini, dan beliau bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, sedia berbincang dengan tiga Menteri Besar di bawah pimpinan PAS mengenai perkara itu.

BBerkaitan

Latest articles