Biar Parti Tentukan, Saya Tak Campur Urusan Pemilihan Jawatan Presiden, Timbalan

KUALA LUMPUR: Keputusan sama dua jawatan tertinggi PKR, iaitu Presiden dan Timbalan Presiden akan dipertandingkan atau sebaliknya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata selaku Presiden PKR, beliau tidak mahu mencampuri urusan pemilihan parti melibatkan jawatan presiden dan timbalannya pada Mei ini.

Anwar juga menyatakan keterbukaannya terhadap pertandingan bagi jawatan itu kerana PKR mengamalkan amalan demokrasi.

“Biar mereka putuskan, saya tidak campur. Biar demokrasi yang bertanding, tak bertanding parti putuskan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni MADANI Bestari Jaya.

Sebelum ini Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, PKR berkemungkinan tidak akan mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang ketika ini disandang oleh Datuk Seri Rafizi Ramli.

Bagaimanapun ada suara akar umbi parti yang kurang bersetuju dengan cadangan itu dan mahu dua jawatan itu dipertandingkan.

Mengikut perlembagaan parti, penggal akan datang adalah yang terakhir untuk Anwar sekiranya memilih untuk mempertahankan jawatan tersebut.

Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh, sebelum ini dilaporkan berkata, PKR memutuskan pemilihan bagi jawatan MPP, Majlis Pimpinan Wanita Pusat dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat parti berkenaan, diadakan pada 24 Mei ini.

BBerkaitan

Latest articles