Biar Mahkamah Tentukan Kes Rasuah Ahmad Zahid – PM

KUALA LUMPUR: Dakwaan pembangkang kononnya dirinya seperti “cakap tak serupa bikin” dalam isu pembanterasan rasuah dan kaitan lantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijawab sekali lagi oleh Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa dirinya tidak langsung masuk campur perjalanan kes perbicaraan yang dihadapi Ahmad Zahid sepanjang menjadi perdana menteri sejak tujuh bulan lalu.

Ketika ini, Presiden UMNO itu sedang membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah.

Menurut Anwar, apa yang lebih penting adalah kejayaan kerajaan yang lebih telus dalam pemberian kontrak yang tidak melibatkan mana-mana kroni dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Ada orang bangkit Anwar ambil timbalan perdana menteri orang UMNO. Masih dalam siasatan (perbicaraan), saya tidak ganggu. Itu urusan mahkamah.

“Tetapi yang penting sejak tujuh bulan kita pegang kerajaan, satu kontrak pun kita tidak tolak-ansur.

“Tak boleh izin mana-mana keluarga menteri ambil kepentingan daripada projek itu. Bagi saya itu kejayaan besar, bagi mereka tidak nampak langsung hal ini,” katanya ketika berucap pada program Qurban Perdana Madani di Kawasan Perniagaan Arowana Permatang Pauh, Seberang Perai Utara hari ini.

Sebelum ini pembangkang mempersoal komitmen Anwar dalam membanteras rasuah dan keperluan tatakelola yang baik.

Namun menyifatkan hal itu sukar terjadi memandangkan Anwar mempunyai timbalan perdana menteri yang berdepan kes rasuah.

Mengulas lanjut, Anwar juga pelik dengan tindakan pembangkang yang mempersoalkan beliau gagal menjadi perdana menteri dalam tempoh tujuh bulan.

Sedangkan, dalam tempoh singkat itu mustahil untuk seorang perdana menteri membuktikan sesuatu sedangkan beliau mengambil alih kerajaan yang mempunyai hutang negara mencecah RM1.2 trilion.

BBerkaitan

Latest articles