KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi enggan mengulas lanjut dakwaan yang dibuat bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman baru-baru ini.
Sebaliknya beliau mengambil sikap berlapang dada dan menyerahkan kepada ahli UMNO terutama akar umbi untuk membuat penilaian.
Dua hari lalu, Tajuddin mendakwa beliau adalah saksi hidup yang pernah menyaksikan Ahmad Zahid mengetuai gerakan ahli-ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Jika anda tanya saya, apa yang saya boleh nyatakan hanyalah terpulang kepada ahli UMNO khasnya akar umbi untuk buat penilaian sama ada itu tidak benar atau ada sedikit kebenaran,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memohon semua pihak menghormati Perlembagaan UMNO dan penyingkiran Tajuddin sebagai MKT juga selaras dengan kuasanya sebagai Presiden UMNO.
Ketika ditanya jika Tajuddin akan berdepan dengan apa-apa tindakan, Ahmad Zahid menyerahkannya kepada Lembaga Disiplin UMNO seandainya ada sebarang aduan.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk juga hanya tersenyum ketika disoal tentang gerakan segelintir pemimpin UMNO sebelum ini yang mahu beliau berundur.
Sebaliknya beliau berkata tidak tahu-menahu berhubung dakwaan itu.
“Saya tidak tahu tentang mesyuarat itu,” ujarnya ringkas.