KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu saling menghargai keamanan yang sedang dikecapi di negara ini dan menolak sebarang ancaman untuk memisahkan kesepakatan dalam kepelbagaian kaum dan bangsa di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya rakyat Malaysia saling memerlu serta melengkapi, terutamanya dalam usaha membina identiti negara bangsa yang berjaya dan berketerampilan.
Ujar Anwar, perbezaan kaum dan budaya adalah resipi kemakmuran kepada mana-mana negara yang mendambakan kerukunan dan keamanan atas dasar dan prinsip hidup berdamping.
Tegas beliau, Malaysia tidak seharusnya gagal dan dilumpuhkan hanya kerana kepentingan beberapa kelompok, malah mesti dilonjak nilai dan prinsip keadilan sejagat agar menyemangati hasrat dan harapan besar tokoh dan pendiri bangsa yang mahukan negara ini di baris depan menjulang masa depan dan maruah bangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut mengucapkan selamat menyambut Hari Natal kepada seluruh penganut Kristian.
“Acara dan perayaan Krismas tanggal 25 Disember saban tahun kembali menjelang dan menceriakan ramai penganut Kristian di serata dunia dan Malaysia tidak terkecuali.
“Sebagai negara yang beragam dan rencam ras serta budaya, perayaan-perayaan besar seperti ini terus menjadi sumber kekuatan dan perpaduan di kalangan kaum di Malaysia,” tambah beliau.