KUALA LUMPUR: BERSATU menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan UMNO, memandangkan kedua-dua parti berkongsi asas ideologi yang sama, kata Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Dalam satu wawancara podcast bersama bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang disiarkan di YouTube semalam, Hamzah berkata kerjasama itu berpotensi berlaku demi mencapai matlamat bersama dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara.
“Jika dilihat dari sudut agenda, UMNO ditubuhkan untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Hari ini, BERSATU juga memegang ideologi yang sama.
“Adakah mungkin satu masa nanti ada kerjasama? Ini bukan bermakna BERSATU tidak kuat tetapi kita terbuka untuk bekerjasama. Ia untuk tujuan yang lebih besar, demi tujuan asal kami,” katanya.
Hamzah turut mendedahkan bahawa beberapa bekas pemimpin MIC dan MCA telah mendaftar sebagai ahli BERSATU, sekali gus menunjukkan kecenderungan golongan bukan Bumiputera untuk menyertai parti itu.
“Di sini, kita dapat lihat terdapat kecenderungan untuk mereka dalam kalangan bukan Bumiputera bersama (BERSATU),” ujarnya.
Menurut Hamzah, meskipun BERSATU dan UMNO tidak sehaluan sebelum ini disebabkan perbezaan pendekatan kepimpinan, ruang kerjasama sentiasa terbuka, lebih-lebih lagi dalam landskap politik yang memerlukan gabungan yang lebih inklusif dan segar.
Menjawab pertanyaan mengenai mengapa ramai bekas pemimpin Barisan Nasional (BN) meninggalkan parti asal mereka, Hamzah berkata beliau tidak mengetahui sebab sebenar, namun menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) kini mengangkat suara rakyat Malaysia secara lebih menyeluruh.
Katanya, sayap bersekutu dalam BERSATU juga telah diberi kedudukan lebih tinggi, selaras dengan usaha menjadikan parti itu lebih inklusif.
“Pemimpin mereka sudah pun duduk di peringkat yang sama dengan Naib Presiden parti. Ini bermakna, dalam mesyuarat kita membincangkan segala-galanya. Kita memberi ruang kepada bukan Melayu untuk merasakan bahawa ini bukan gabungan semata-mata, tetapi mereka adalah sebahagian daripada parti,” jelasnya.
Tambah Hamzah, BERSATU kini sedang berusaha memperluas keahlian bersekutu dengan menyampaikan mesej inklusiviti kepada rakyat Malaysia secara lebih meluas.
“Jika kita perluaskan (ahli bersekutu) dengan memberitahu lebih ramai orang, minat mereka akan meningkat. Kita semua boleh bersama, dalam satu parti,” katanya lagi.