Bersatu Tak Perlu Campur Hal Kerajaan, Faizal Usah Sibuk Tugas TPM

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO, Hizatul Isham Abdul Jalil mengingatkan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu supaya tidak mendahului keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menentukan tugas timbalannya.

Ujar Isham, jawatan yang digalas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu adalah hak dan budi bicara Perdana Menteri dan bukannya mana-mana pihak termasuk Bersatu.

“Faizal Azumu, saya cadang supaya kamu tidak perlu sibuk berkenaan urusan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Jawatan ini adalah hak dan budi bicara Perdana Menteri untuk menentukan, bukannya kamu atau parti kamu Bersatu,” katanya dalam hantaran terbaru di akaun Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Faizal menggesa tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri direhatkan.

Ahmad Faizal berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan perbicaraan yang melibatkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak menghadapi sebarang gangguan atau kelewatan.

Gesaan itu dibuat selepas Ahmad Zahid membuat permohonan kepada mahkamah supaya pasport beliau dikembalikan.

Isham juga memberitahu Ahmad Faizal dan pemimpin Bersatu yang lain agar bersiap sedia untuk berdepan dengan pendakwaan di mahkamah dengan dakwaan kes rasuah dan skandal penyalahgunaan dana kerajaan.

“Daripada kamu sibuk dengan kes mahkamah orang lain dan pemimpin-pemimpin UMNO yang telah berlangsung selama lebih empat tahun di mahkamah akibat pendakwaan terpilih oleh pemimpin parti kamu dulu.

“Saya saran supaya kamu atau rakan-rakan dalam parti kamu bersedia untuk dihadap ke mahkamah pula dan menjadi kluster mahkamah 2.0 kini akibat kes rasuah pengundi dan skandal penyalahgunaan dana kerajaan yang terbesar dalam sejarah Malaysia.

“Sebab sebelum ini semasa parti kamu dalam kerajaan, puak-puak kamu banyak terlepas dari pendakwaan kes jenayah apabila wakil-wakil rakyat kamu melompat parti,” katanya.

Tambahnya, Isham juga mempersoalkan gesaan Ahmad Faizal itu yang dilihat lebih untuk mengalihkan isu yang dihadapi pemimpin Bersatu itu.

“Adakah kamu rasa kamu atau rakan-rakan kamu akan dapat terlepas begitu sahaja lagi kali ini dengan mengalih perhatian kepada isu orang lain dan dengan memanggil rasuah kamu itu sedekah?

“Rakyat tidak akan lupa kes-kes ini. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Kamu perlu fokus kepada masalah kritikal kamu dan parti kamu ini.

“Sesiapa yang melakukan jenayah dan rasuah tidak boleh terlepas dari pengadilan, di dunia atau di akhirat. Bersiaplah,” katanya lagi.

KOMEN

BERKAITAN

POPULAR

Media Sosial

29,272FansLike
0MembersFollow
48,300FollowersFollow
0FollowersFollow
9,238FollowersFollow
10,400SubscribersSubscribe

Terkini