KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan parti telah menerima surat yang ditandatangani oleh 25 Ahli Parlimen dan 58 Adunnya berkenaan arahan khusus majlis pimpinan tertinggi parti, seperti yang dikehendaki dalam tempoh 14 hari yang berakhir semalam.
Arahan itu selaras dengan pindaan perlembagaan Bersatu yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) baru-baru ini.
Pindaan terhadap Perlembagaan parti dilakukan susulan tindakan enam Ahli Parlimen parti itu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah kerana semua wakil rakyat Bersatu yang kekal teguh menjunjung obor perjuangan suci parti ini telah berikrar untuk terus setia kepada parti demi membela agama, bangsa dan negara,” kata Muhyiddin dalam kenyataan.
Muhyiddin turut mengingatkan wakil rakyat parti itu bahawa keahlian mereka akan disifatkan terhenti sekiranya gagal mematuhi arahan MPT.
“Diperingatkan mengikut Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu, ketidakpatuhan wakil rakyat Bersatu terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan MPT adalah disifatkan terhenti keahliannya secara serta-merta,” katanya.
Terdahulu, wakil rakyat Bersatu dilaporkan diberi tempoh 14 hari untuk menyatakan pendirian susulan langkah enam Ahli Parlimen dan seorang Adun menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim atau Menteri Besar Amirudin Shari.
Surat itu dikatakan mengandungi arahan, antaranya memaklumkan mereka harus setia kepada parti serta mendukung dasarnya, dan memberitahu kepimpinan Bersatu tidak akan menyokong kepimpinan kerajaan perpaduan.
Semalam, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, suatu jawatankuasa khas akan membincangkan respons semua wakil rakyat Bersatu, termasuk maklum balas enam Ahli Parlimen dan seorang Adun yang menyokong kerajaan perpaduan.
Difahamkan tujuh wakil rakyat terbabit telah menyerahkan surat pernyataan pendirian masing-masing, namun respons mereka dikatakan tidak memuaskan.
Ahli Parlimen yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Terbaharu, ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.