Bersatu Sepakat Calonkan Muhyiddin PM Ke-11

SHAH ALAM: Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2025 yang melabuhkan tirai hari ini sebulat suara menamakan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perwakilan juga sepakat menyokong penuh ucapan dasar presiden serta mengekalkan Muhyiddin sebagai peneraju parti.

“PAT kali ini menyaksikan 20 pembahas dari seluruh negeri, sayap dan wakil mahasiswa tampil mengupas isu besar seperti kos sara hidup, ekonomi global, perpaduan rakyat serta perkembangan politik semasa,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat berakhir.

Menurut Azmin, resolusi perhimpunan turut menekankan iltizam perwakilan untuk memperkukuh gerak kerja di lapangan serta meningkatkan keupayaan jentera pilihan raya menjelang PRU akan datang.

Bagaimanapun, PAT Bersatu 2025 tidak terlepas kontroversi apabila berlaku kekecohan dan pergelutan kecil dalam kalangan perwakilan malam tadi.

Insiden itu tercetus ketika Muhyiddin menyentuh mengenai kewujudan surat layang yang cuba mendesaknya berundur.

Susulan kejadian tersebut, satu laporan polis dibuat.

Namun, Muhyiddin kemudian menjelaskan isu berkenaan telah diselesaikan secara dalaman dengan cara berhemah.

BBerkaitan

Latest articles