Bersatu ‘Projek Gagal’, Muhyiddin Hanya Gila Kuasa

KUALA LUMPUR: Rakyat diperdaya dengan ‘perjuangan’ politik yang kononnya dibawa oleh Bersatu, demikian menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dalam masa yang sama beliay turut menyifatkan Bersatu yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sebagai sebuah projek politik yang gagal, kerana tidak meletakkan bangsa Melayu di tempat yang sepatutnya.

Malah apabila Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dibincangkan oleh Jemaah Menteri, Khaled berkata, kedengaran menteri dari parti tersebut adalah yang paling lantang mengkritik cadangan kerajaan, kononnya demi sebuah ketelitian dan penambahbaikan.

“Tetapi semua orang tahu bahawa cerita sebenar ialah kerana mereka rasa terpukul dengan RUU tersebut. Merekalah punca utama keperluan RUU tersebut diusulkan untuk dijadikan undang-undang.

“Daripada 39 Ahli Parlimen yang melompat, 26 telah menyertai Bersatu, dilantik menjadi menteri dan mengurus negara ini.

“Maka demikianlah murninya cita-cita penubuhan Bersatu…yang ditawarkan kepada orang Melayu bukannya nilai dan politik moral yang lebih bermutu dan baik, tetapi pemimpin yang khianat pada mandat pemilih dan parti mereka, diangkat memimpin negara dan bangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor juga berkata tiada rencana luar biasa dari Bersatu untuk bangsa dan negara serta tiada kepimpinan yang mempersonakan baik dari segi ketokohan, idea mahupun ciri yang meyakinkan.

“Perhatikan juga lapisan kedua pemimpin Bersatu. Adakah orang Melayu akan merasa yakin dengan kualiti, pemikiran dan ‘conviction’ mereka?

“Lihat sahaja bagaimana mereka menguruskan kementerian mereka, menyantuni rakyat dan pelbagai dasar yang mereka perkenalkan. Semuanya menjurus kepada ‘a serious neglect of duty dan failed leadership’ (pengabaian serius terhadap tugas dan kepimpinan yang gagal),” katanya.

Mengulas mengenai Muhyiddin, beliau percaya bekas Perdana Menteri itu juga tiada cita-cita besar untuk parti, melainkan memikirkan kepentingan diri sendiri.

“Sebab utama kenapa ia gagal adalah kerana Presiden Bersatu tidak mempunyai ‘conviction’ pada apa yang beliau war-warkan.

“Akhirnya, secara nyata, beliau hanya ingin kuasa, bukan kesanggupan untuk perjuangan yang panjang dan suci untuk orang Melayu dan tanahair,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles